Kami ialah generasi yang dibina oleh kamu. Kami tahu, kamu tak senang dengan sejumlah besar dari kami. Apa yang kami dah jadi pada hari ini sebenarnya, adalah hasil dari polisi dan indoktrinasi kamu. Serupa dengan kamu, yang merupakan hasil orang yang terdahulu dari kamu. Kamu menjadi. Kami tidak. Dan akibat dari itu, kami dipersalahkan sehingga bagaikan kami ni adalah anasir yang wujud semata-mata nak jatuhkan kamu. Padahal, kamu cuma nak menutup kelemahan sendiri dari mata kamu sendiri.
Kamu selalu galakkan kami menelan teguranmu yang pahit tapi kamu tak pernah tunjukkan caranya. Jadi kami telanlah yang pahit, ikut cara kami. Dan bila yang pahit itu tidak jadi ubat (sebab doktor pun tak bertauliah) kami dipersalahkan lagi kerana mengambil segala dari kamu bulat-bulat. Kami sangkakan kamu ialah penyelamat. Kami percayalah dengan kamu. Rupanya nak menyelamatkan diri sendiri saja.
Kamu selalu ingatkan kami agar sentiasa beringat. Tapi kamu yang semakin senja atau kiamat, melenting bila kami sebut perkataan solat.
Kami disuapkan dengan garam sebelum layak nak menyangkal pendapatmu yang penuh kalsium. Kamu yang mengajar kami menyelesaikan segalanya dengan duit. Kini, bila duit dah takde, dan kami mintak bantuan, kamu suruh kami buat apa yang selama ini kamu cakap kamu yang buat. Dan paksa kami belajar sedangkan exam ialah sebentar lagi. Tak lojik suruhanmu itu.
Bila kami kongsi pengalaman pahit kehidupan kami, kamu padamkan kesusahan itu dengan cerita boombastik zaman Jepun bagaikan kamu ini salah seorang Leftenan Adnan dalam lipatan sejarah. Bila kami cerita harga barang semakin naik, kamu cerita pasal zaman nasi lemak rega 20sen. Kami taknampak camana cerita kamu itu membantu. Sebab itu kamu di mata kami semakin tiada nilainya.
Ketahuilah, bahawa masa kamu semakin hampir. Jika kamu tak beri kami peluang belajar semasa kamu ada di sini, masakan kami dapat perbaiki diri? Jika kamu asyik kondem segala idea kami, nescaya kami akan terus berpeluk tubuh sementara menunggu kamu mati. Kamu patut contohi atuk dan nenek kami yang percayakan kamu.
Tapi tak. Kamu terus pikir yang kami ni masih mentah dan tak tau apa-apa dan terus menerus menentukan apa yang kamu rasakan terbaik untuk kami.
Apakah kamu mahu cucu kamu juga jadi seperti kami?
Cukuplah tu.
Pergilah mati.